Takdir apa yang menimpamu hari ini? Pastinya dalam bertahan, terselit sedikit kekecewaan. Luahkan, apa sebab yang kau kesali?
Diberhentikan kerja? Tak cukup duit? Bersyukurlah kerana berlaku pada hari ini, di mana usiamu masih lagi sedikit. Kerana kau masih punya tenaga tulang empat kerat. Boleh lagi melakukan pekerjaan-pekerjaan yang berat untuk mencari sesuap nasi. Berbanding orang tua yang lemah dan tak berdaya, sehingga diri sendiri tak mampu disara.
Gagal dalam peperiksaan? Bersyukurlah kerana hari ini kau sudah punya kesedaran tentang kegagalanmu. Kerana ada yang tidak sedar, alpa dan leka, hanyut dalam dunia mereka, kerana terlebih dahulu berputus asa.
Kecewa kekasih tinggalkan? Bersyukurlah kerana bukan diceraikan. Sekurang-kurangnya kau tak perlu menjadi ibu atau bapa tunggal yang punya tanggungan.
Kecewa kerana diceraikan? Bersyukurlah kerana berpeluang mencari dan membina kebahagiaan yang baharu. Bukan salahkan ketidaksempurnaanmu! Kerana manusia itu bukan Maha Sempurna kecuali Allah yang Esa.
Ibu bapamu berpisah? Bersyukurlah kerana dipilih untuk menjalani ujian itu. Sesungguhnya Allah percaya pada ketabahan dan kekuatanmu. Jangan membenci mereka, kerana ketahui bahawa kau lebih beruntung berbanding mereka yang lahir-lahir sahaja ke dunia, tidak punya ayah atau ibu. Mereka langsung tidak berkesempatan merasa belaian dan kasih seperti yang tercurah padamu.
Ya, sememangnya yang tidak melalui tidak dapat merasai! Tetapi, disebalik apa-apa yang terjadi, ada sesuatu yang perlu disyukuri... Berbahagialah wahai hati...
#Alhamdulilah